Thursday, 29 October 2015

KERJA BERPASUKAN (TEAM ORIENTED)


Definisi kerja berpasukan merujuk kepada suasana kerja dalam pasukan yang mengamalkan nilai kerjasama dan saling berganding bahu dalam menjalankan tugas untuk mencapai objektif  yang sama.
Ciri kerja berpasukan ini boleh dikaitkan dengan Tan Sri Tony Fernandes iaitu seorang tokoh usahawan Malaysia berketurunan India. Tan Sri Tony Fernandes atau nama sebenarnya Anthony Francis Fernandes merupakan pengasas syarikat Tune Air Sdn Bhd iaitu sebuah syarikat yang menawarkan perkhidmatan penerbangan tambang murah kepada penduduk Malaysia. Pada tahun 2001, Tony Fernandes telah mengambil alih sebuah syarikat melalui syarikat Tune Air Sdn Bhd. Syarikat tersebut dibebani hutang yang banyak sebanyak RM40 juta dan mempunyai pelbagai rekod buruk. Pada ketika itu, Air Asia hanyalah sebuah anak syarikat yang ditubuhkan oleh syarikat DRB-Hicom. Walau bagaimanapun, tindakan Tony Fernandes itu mendapat tentangan ramai orang termasuk pakar-pakar yang menganggap bahawa rancangan perniagaan beliau yang menawarkan harga tiket penerbangan yang murah adalah perniagaan yang membawa kerugian. Namun begitu, beliau tidak mempedulikan anggapan mereka sebaliknya  meneruskan konsep perniagaannya itu. Hal ini dilakukan bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan membeli tiket penerbangan dengan harga yang mahal. Berkat usaha dan kegigihannya, Tony Fernandes  berjaya menunaikan impiannya seiring dengan slogan syarikat Air Asia iaitu Now everyone can fly. Di bawah kepimpinan beliau juga, perniagaan syarikat penerbangan yang sebelumnya dibebani hutang yang banyak semakin berkembang. Dalam masa hanya kurang daripada 3 tahun sahaja, syarikat Air Asia berjaya meningkatkan daripada hanya dua buah Boeing sederhana 737-300 kepada 30 buah dan kini beroperasi lebih daripada 100 penerbangan domestik dan juga penerbangan antarabangsa setiap hari. Ciri kerja berpasukan ini dikaitkan dengan Tan Sri Tony Fernandes melalui kemampuannya dalam menguruskan keberkesanan tahap pengurusan organisasinya bukan sahaja di dalam negeri bahkan mampu bersaing di peringkat global. Ciri kerja berpasukan amat dititikberatkan pengasas syarikat Air Asia ini sehingga  menggelarkan pekerja-pekerjanya sebagai AllStars kerana baginya peranan dan sumbangan pekerja-pekerjanya merupakan faktor utama yang menyumbang kepada kejayaannya. Tidak kiralah secanggih mana pun pesawat atau sistem teknologi  yang digunakan oleh Air Asia ianya tidak akan bermakna tanpa pekerja yang menggerakkannya. Kerana itulah syarikat Air Asia dengan bangganya menyatakan di dalam laman webnya bahawa :
Our people are our GREATEST ASSET. They MAKE all the DIFFERENCES in the world. Our DRIVING FORCE has always been our people. From our humble beginnings to the present family size of 8,000 people, we stand UNITED and SHARE one common culture.

Di samping itu, dalam melahirkan pasukan kerja yang berkesan, Tony Fernandes melalui syarikatnya AirAsia bukan sahaja memberikan latihan yang sewajarnya kepada para pekerjanya malah turut mengambil kaedah dengan menubuhkan sebuah Unit Budaya Korporat  yang bertanggungjawab dalam menerapkan nilai dan amalan syarikat kepada semua pekerjanya. Tan Sri Tony Fernandes pernah berkata bahawa pekerja diutamakan sebelum pelanggannya. Beliau percaya bahawa dengan bekerja dalam suasana kerja yang gembira, pekerja beliau akan menjaga pelanggannya juga. Jadi tidak hairanlah, syarikat tambang murah ini disegani oleh syarikat penerbangan yang lain yang bertaraf antarabangsa. Dengan ini jelaslah bahawa kerja berpasukan melalui pengurusan yang berkualiti dengan kerjasama semua pekerja di semua peringkat sama ada pada peringkat atasan dan bawahan menjamin kejayaan sesebuah perniagaan.


Tan Sri Tony Fernandes 

KEGAGALAN ADALAH SATU PILIHAN (FAILURE IS AN OPTION)


Kegagalan adalah satu perkataan yang membawa maksud negatif. Tiada sesiapa yang mahukan kegagalan. Dalam menceburi bidang keusahawanan, seseorang usahawan tidak akan lari daripada menghadapi kegagalan dalam menjalankan perniagaannya. Namun begitu, setiap usahawan perlu menjadikan kegagalan sebagai satu pilihan. Kegagalan sebenarnya merupakan satu langkah awal bagi seseorang usahawan untuk berjaya dan berkembang maju. Apa yang penting ialah untuk merancang daripada kegagalan dan belajar daripadanya. Rata-rata usahawan berjaya memegang prinsip bahawa kegagalan adalah satu pilihan. Salah seorang daripadanya ialah usahawan terkenal dari China iaitu Jack Ma. Jack Ma ialah seorang pengasas, pengerusi dan CEO sebuah syarikat e-dagang yang besar iaitu Alibaba. Dalam personaliti Jack Ma, ciri keusahawanan yang dimiliki beliau ialah percaya bahawa kegagalan adalah satu pilihan. Walaupun kini beliau dikenali sebagai orang terkaya di China namun kekayaan itu bukan dimiliki daripada hasil warisan keluarganya. Semua kejayaannya dimiliki berkat kegigihannya selepas melalui pelbagai kegagalan. Semasa zaman persekolahannya, prestasi akademik Jack Ma tidaklah cemerlang. Hal ini menyebabkan beliau gagal sebanyak dua kali dalam menempatkan diri dalam mana-mana institut perguruan tinggi di China. Namun setelah belajar dan berusaha beliau akhirnya berjaya memasuki universiti pada ujiannya yang ketiga. Setelah lulus dari Hangzhou Teacher Institute, Jack Ma akhirnya menjadi seorang guru bahasa Inggeris dengan gaji sebanyak $12 sebulan selepas gagal memperoleh pekerjaan lain termasuk jawatan sebagai pengurus di KFC.
Setelah mengalami pelbagai kegagalan dalam mencari kerja, beliau akhirnya bertekad untuk menjalankan perniagaan sendiri. Beliau menjalankan perniagaan menterjemah bahasa tetapi hasilnya kurang memuaskan. Beliau pernah dihantar ke sebuah perniagaan China untuk menuntut pinjaman dari seseorang di Amerika Syarikat tetapi gagal malah turut diancam dengan senjata api. Akhirnya beliau memutuskan untuk pergi ke Amerika. Walaupun pada mulanya beliau menemui kegagalan namun kepergiannya ke Amerika Syarikat pada tahun 1995 itu bukanlah sia-sia. Salah seorang daripada rakannya di Seattle menunjukkan kepadanya tentang teknologi internet. Beliau melihat peluang dalam perniagaan kecil melalui jual beli barangan secara dalam talian. Setelah itu Jack Ma mengakui bahawa internet adalah alat untuk memperkembangkan perniagaan kecil. Pada tahun 1999, beliau mendirikan perusahaan perdagangan online pertamanya yang diberi nama Alibaba di apartmentnya di Hangzhou bersama dengan 17 orang rakannya.

Mereka berjaya mengumpulkan dana pertama bernilai USD 60 ribu. Pada waktu itu, e-commerce belum dikenali di China.  Apabila Alibaba berkembang secara global, Jack Ma meletak jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. Beliau menyedari bahawa orang lain boleh memanfaatkan syarikat dengan lebih baik daripada beliau sendiri di samping membolehkan bakat lain untuk memanfaatkan masyarakat dan generasi seterusnya. Jack Ma adalah seorang usahawan dan pemimpin yang berwawasan kerana wawasannya digunakan untuk mengetahui serta menentukan strategi utama syarikat Alibaba. Beliau juga selalu berkongsi wawasannya dengan orang ramai untuk membantu mereka dalam dalam menjadi usahawan berjaya. Sehingga kini, Alibaba terus berkembang pesat. Kekayaan Jack Ma semakin besar. Pada tahun ini, beliau menduduki kedudukan 22 dalam senarai jutawan Forbes dengan kekayaan sebanyak US $23.5 billion. Namun siapa sangka, beliau dulu hanyalah seorang guru miskin di China. 


Jack Ma

BUDAYA TERBUKA (OPEN CULTURE)


Budaya terbuka merujuk kepada konsep di mana pengetahuan harus disebarkan secara bebas. Penyebaran pengetahuan ini adalah tidak terikat dengan mana-mana perlindungan undang-undang harta intelek semasa seperti pembangunan, penukaran yang telah sedia ada di atas perkongsian dan kerjasama. Setiap usahawan yang berjaya juga perlulah mengamalkan konsep budaya terbuka. Usahawan yang mempunyai ciri ini ialah Vivy Yusof. Vivy Yusof merupakan seorang usahawan, selebriti dan ikon sosial untuk beribu-ribu wanita muda di Malaysia. Beliau merupakan pengasas laman web e-dagang FashionValet.com.
FashionValet adalah salah satu daripada laman web e-dagang yang menjalankan perniagaan fesyen dalam talian terkemuka di Malaysia. FashionValet bermula dengan hanya RM100,000 dan telah berjaya dilancarkan pada bulan November 2010 dengan hanya 10 jenama tempatan. Sehingga kini platform ini mempunyai lebih daripada 300 jenama dari seluruh Asia Tenggara. Beberapa tahun yang lalu, Vivy mempunyai blog yang diberi nama Proudduck semasa beliau belajar di London School of Economics dalam bidang undang-undang ketika berumur 25 tahun. Beliau gemar menulis untuk berkongsi pandangan dan pengalamannya belajar di luar negara. Tidak lama selepas itu beliau mempunyai ramai pengikut dan pembaca yang setia mengikuti perkembangan blognya terutamanya golongan wanita muda yang menyukai hasil tulisan, gaya dan penampilannya. Semasa di UK, beliau mendapati bahawa penduduk UK sangat menghargai rekaan pereka tempatan. Selain itu, kebanyakan penduduk di UK membeli-belah secara online berbanding dengan Malaysia. Oleh itu, proses membeli-belah dalam talian adalah bukanlah sesuatu yang baru di negara itu pada masa itu. Kerana minat yang mendalam dalam bidang fesyen dan tidak mahu ketinggalan dalamnya, beliau sentiasa menjaga penampilannya dan sentiasa tampil feminin dan bergaya. Setelah tamat pengajian, beliau pulang ke Malaysia dan membantu bapanya dalam perniagaan hartanah. Beliau rindu untuk membeli-belah secara dalam talian kerana kesibukannya dengan tugas-tugas di pejabat yang menyebabkannya tidak mempunyai masa untuk membeli-belah. Inspirasi daripada budaya terbuka penduduk UK, beliau sedar bahawa pembangunan teknologi maklumat yang semakin meningkat dengan pesat membuka banyak peluang.
Beliau dengan itu memutuskan untuk melancarkan pusat membeli-belah dalam talian yang dinamakan FashionValet.net pada tahun 2009 setelah mendapat pandangan dan persetujuan daripada bapanya. Beliau menubuhkan FashionValet.net (FV) sebagai sebuah hab rekaan fesyen tempatan. Beliau memulakan perniagaan ini dengan rakan-rakan beliau di UK iaitu Asma 'Nasaruddin dan Fadzarudin Maher yang kini merupakan suaminya. Tidak boleh mereka fesyen kerana pendidikan pasangan itu menyimpang jauh daripada dunia fesyen kerana beliau belajar undang-undang manakala suaminya belajar kejuruteraan aeronautik menyebabkan mereka mencontohi syarikat perniagaan dalam talian daripada UK iaitu ASOS. ASOS menawarkan pelbagai jenama pereka di bawah satu bumbung.

Bagi membezakan laman web mereka daripada orang lain, Vivy merancang untuk menetapkan hanya jenama tempatan. Sehingga hari ini pembaca dan peminat beliau sendiri yang pergi mencari untuk mengikuti perkembangan Vivy terutamanya pada akaun media sosial beliau iaitu blog termasuk Instagram, di mana beliau memuat naik gambar fesyen beliau serta maklumat terkini mengenai hidupnya termasuk berita pelancaran FashionValet. Vivy pernah menyatakan rasa terharunya terhadap sokongan yang diterima daripada peminat beliau, dan berkata bahawa beliau tidak pernah membayangkan bahawa blog kecil itu boleh berkembang ke dalam perniagaan sehingga hari ini. Hari ini, berkat usaha Vivy, Fadzarudin dan rakannya Asma Nasarudin kini menyebabkan FashionValet mempunyai lebih daripada 30 pekerja dan saham lebih daripada 300 jenama dari seluruh Asia Tenggara. Tidak hairan juga apabila Vivy Yusof terpilih sebagai calon Bella Business Award melalui saluran NTV7 dan antara 60 Wanita Inspirasi Nona TV3. Kesimpulannya Vivy Sofinas Yusof menunjukkan bahawa kepentingan budaya terbuka untuk usahawan. Ia perlu dijadikan sebagai pengajaran terutamanya kepada anak muda yang berminat dalam menjalankan perniagaan dalam talian pada masa hadapan. 


Vivy Yusof

MENGAMBIL RISIKO TERBUKA (OPEN RISK TAKER)


Berani mengambil risiko ialah berani menjalani kehidupan itu sendiri. Juga menunjukkan bahawa kita yakin akan mendapatkan sesuatu pelajaran berharga dari setiap risiko yang  diambil. Bicara mengenai risiko seperti kata, William J.Bernstein dalam bukunya The Four Pillars of Investing, Risk, like pornography, is difficult to define, but we think we know it when we see it. Risiko seperti pornografi , sukar untuk didefinisikan, tapi kita akan mengetahuinya apabila kita telah melihatnya. Begitu juga dengan risiko kita akan mengetahui dan merasakannya bila kita telah menjalaninya. Berani mengambil risiko juga seperti menerima sebarang kemungkinan untuk jatuh dengan tabah dan menjadikannya sebagai batu loncatan untuk terus membina masa depan yang cerah. Setiap usahawan perlulah mempunyai ciri-ciri keusahawanan. Salah satu daripadanya ialah berani mengambil risiko. Contohnya, Tan Sri Lim Goh Tong. Kemunculan pusat pelancongan bertaraf dunia itu adalah hasil idea Tan Sri Lim Goh Tong yang pernah dilabel sebagai gila sesuatu ketika dahulu. Ejekan yang diterima dijadikan pembakar semangat untuk maju. Orang mengatakan idea Tan Sri Lim Goh Tong tidak akan ke mana dan pelaburannya tidak menjanjikan pulangan modal berikutan tiada siapa yang berminat dengan perniagaan itu. Tan Sri Lim Goh Tong telah menyahut cabaran tersebut dengan bekerja 2 shif sepanjang minggu bagi menjimatkan kos. Beliau merupakan orang pertama yang bekerja mengikut shif 24 jam sehari sepanjang minggu untuk memastikan cita-cita itu tercapai. Beliau juga akan menjadi pertama yang sampai ke tempat kerja dan orang yang terakhir yang pulang dari kerja. Kini, First World Hotel merupakan antara hotel terbesar di dunia.



 Tan Sri Lim Goh Tong


BERORIENTASIKAN HASIL (OUTCOME ORIENTED)



Maksud berorientasikan hasil di sini adalah untuk mencapai sesuatu matlamat dan memperoleh hasil dari sesuatu perniagaan dalam keusahawanan. Sebagai seorang usahawan, tentulah salah satu motif dalam perniagaan ialah memperoleh hasil yang lumayan. Hasil yang diperolehi boleh dijadikan sebagai satu sumber untuk mendorong seseorang usahawan lebih bersemangat dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai matlamatnya.

Salah seorang usahawan yang telah berjaya pada hari ini adalah Atikah Ashari, seorang pemilik butik tudung jenama Radiusite. Bermula dengan berniaga secara suka-suka semasa menuntut di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam di tahun ketiga. Ika mengambil jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan. Berbekalkan modal yang kecil sebagai permulaan sebanyak RM500, Ika dan suami gigih mencari dan membeli pelbagai fesyen tudung terbaru di kedai-kedai sepanjang Jalan Tunku Abdul Rahman (TAR), Kuala Lumpur. Oleh kerana dulu faktor tiada banyak pesaing tudung, ini menjadi peluang yang terbaik bagi usahawan muda ini untuk berjaya. Lama-kelamaan, jenama tudung ini mula mendapat tempat di hati kebanyakan wanita kerana ramai yang menggemari fesyen tudungnya. Apabila perniagaan tudungnya telah berkembang dan digemari ramai, malah dikenali ramai juga, Ika berniat untuk melebarkan lagi sayap perniagaannya dan akhirnya beliau menjadi salah seorang usahawan yang berjaya dan berjaya mengaut untung yang banyak walaupun dalam usia beliau yang masih muda. Radiusite kini mempunyai empat cawangan iaitu di Rawang, Johor Bharu, Kuala Lumpur dan Shah Alam. Berkat kesungguhan dan azam yang kuat, anak muda ini berjaya menjadi usahawan wanita yang muda dan berjaya. Semoga perniagaan beliau akan terus berkembang maju dan berjaya menembusi pasaran antarabangsa seterusnya meraikan nama Malaysia.

Atikah Ashari

BERWAWASAN (VISIONARY)


Berwawasan ialah mementingkan disiplin diri dan mempunyai pencapaian akademik yang baik. Sebagai contoh, usahawan yang mempunyai Tan Sri Loh Boon Siew. Sebagai usahawan yang berjaya, Tan Sri Loh Boon Siew dilihat sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi untuk syarikat yang beliau tubuhkan untuk membawa masuk motorsikal Honda ke Malaysia. Ini dapat dilihat dengan terbinanya kilang motorsikal yang pertama di Malaysia iaitu Boon Siew Assembly Plant milik Boon Siew Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Mak Mandin, Pulau Pinang. Dengan terbinanya kilang ini pada tahun 1969 motosikal Honda tidak lagi dipasarkan di Jepun tetapi dipasangkan di Malaysia seterusnya dapat menjimatkan kos pemasangan dan jualan.

Dengan terbinanya kilang ini, Boon Siew Sdn Bhd juga telah memperkenalkan beberapa model terbaru motorsikal Honda pada tahun 1971 iaitu model Honda S90Z. Pada hari ini, terdapat pelbagai jenis motorsikal Honda yang berada dipasaran. Dengan sikap yang berwawasan tinggi inilah yang memacu Tan Sri Loh Boon Siew untuk terus berjaya terutamanya dalam bidang permotoran. Tidak semua usahawan mempunyai kemampuan untuk melihat ke hadapan seperti Tan Sri Loh Boon Siew. Sikap positif ini senjata utama di dalam usaha beliau untuk terus bergerak maju di dalam industry permotoran Malaysia.

Tan Sri Loh Boon Siew 


RANGKAIAN (NETWORKED)


Rangkaian bermaksud menggunakan strategi pengaruh untuk memasarkan sesuatu produk dalam keusahawanan. Strategi pengaruh yang digunakan dalam perniagaan amatlah penting kerana ia adalah salah satu cara untuk mempromosikan sesuatu produk dalam perniagaan seseorang usahawan. Mungkin ramai yang tidak kenal dengan usahawan ini, tetapi beliau telah menempa kejayaan dan menjadi jutawan dalam usia muda. Azhani Jalaluddin, 29, boleh menarik nafas lega kerana pengorbanan yang didasari usaha gigih dan doa membuahkan hasil apabila perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash sudah mendapat hati di kalangan masyarakat setempat. Impian beliau untuk membuka kedai dobi tidak pernah padam walaupun beliau tahu ramai yang telah jatuh dalam membuka dan menjalankan perniagaan dobi sepertinya.

Beliau juga pernah hampir tersungkur dek ujian dalam mengendalikan perniagaan perkhidmatan ini kepada orang ramai, namun hasil promosi yang berterusan, beliau telah berjaya meyakinkan beberapa buah syarikat seperti hotel, restoran dan katering untuk mendapatkan perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash miliknya. Kesukaran untuk mendapatkan pekerja yang berkualiti dan setia juga merupakan antara cabaran besar, katanya. Justeru bagi mengatasi masalah itu, tanpa mengira penat dan lelah apatah lagi rasa malu beliau melakukan semua kerja termasuk mencuci, mengering dan menggosok bagi memastikan perniagaannya terus beroperasi. Beliau juga memperuntukkan masa setiap hari melakukan promosi dengan mengedar risalah, bertemu orang ramai dan kenalan bagi meyakinkan orang ramai tentang kebaikan dan keunikan perkhidmatan Kedai Dobi e-Wash. Azhani berkata, kelainan yang ditawarkan oleh kedai dobinya adalah teknologi terkini hasil inovatif Electrolux yang membolehkan pakaian bukan sahaja bersih tetapi selamat diguna dan tidak menjejaskan kualiti sedia ada. Bagi membolehkan mengoperasikan teknologi tersebut, dia telah menyertai program Advance Lagoon selama empat hari anjuran Electrolux di Pattaya,Thailand yang turut disertai peserta dari Indonesia, Filipina dan Thailand. Selain itu, katanya, Kedai Dobi e-Wash mengutamakan konsep Islam bagi memastikan semua pakaian dibasuh dan dibersihkan menepati hukum syarak. Ini merupakan salah satu faktor mengapa kita hanya mengambil pekerja Islam, katanya sambil menambah konsep tersebut telah diterima oleh pelanggannya yang terdiri daripada pelbagai kaum. Sebab itu juga, pelanggan saya tidak rasa was-was menghantar telekung untuk dicuci di kedai ini, katanya lagi. Kini perniagaannya telah berkembang maju dan beliau juga telah membuka cawangan lain bagi memajukan lagi perniagaannya.


Azhani Jalaluddin dan suaminya, Mohammed Irfan

TAAT (OBSERVANT)


Taat secara bahasa ertinya tunduk dan patuh. Secara istilah taat adalah tunduk dan patuh, baik terhadap perintah Allah SWT, Rasul-Nya mahupun ulil-Amri (pemimpin). Perilaku taat ini mungkin sering kita langgar. Contoh usahawan yang taat  ialah Tan Sri Syed Mokhtar. Tan Sri Syed Mokhtar mempunyai tujuh orang adik-beradik dan beliau adalah anak ketiga. Beliau hidup dalam keadaan yang serba kekurangan dan rumah kayu beliau terletak Kampung Hutan Keriang tidak mempunyai katil, meja mahupun kerusi. Ini menyebabkan beliau susah untuk menelaah. Disebabkan keadaan keluarganya yang kurang berkemampuan, Tan Sri Syed Mokhtar membantu ibunya menanam sayur-sayuran bagi menampung pendapatan mereka sekeluarga. Mereka menjual sayur-sayuran di pasar di Jalan Telok Wan Jah. Beliau juga menjual roti canai di pasar yang sama. Semasa waktu rehat di sekolah, ayah Tan Sri Syed Mokhtar akan menemuinya di sekolah dan memintanya membuat simpan kira. Selepas waktu sekolah, Tan Sri Syed Mokhtar membantu menggembala haiwan peliharaan bapanya di pusat kuarantin berdekatan dengan stesen kereta api Alor Setar. Beliau banyak menimba ilmu dan pengalaman semasa melakukan kerja-kerja itu. Ini menunjukkan beliau sangat taat kepada kedua-dua ibu bapanya. Setelah beliau berjaya, Tan Sri Syed Mokhtar sentiasa merendah diri dan beliau tidak pernah lupa dan bersyukur atas nikmat yang Allah berikan kepada beliau. Ini juga menunjukkan ketaatan beliau kepada sang pencipta dan pemberi nikmat.


Tan Sri Syed Mokhtar

PROAKTIF (PROACTIVE)


Proaktif ialah bersikap positif dengan merangka dan mengawal tindakan yang dilakukan jauh lebih awal daripada jangkaan akan berlakunya sesuatu perkara atau kejadian. Dalam konteks keusahawanan, seorang usahawan itu mestilah bertindak lebih agresif dalam segala tingkah laku dan tindakan dalam dunia perniagaan. Sebagai contoh, Saiful Nang yang dikenali dalam bidang fotografi. Siapa yang menceburi bidang ini pasti kenal dengan tuan empunya badan. Beliau juga antara jutawan fotografi yang termuda di Malaysia. Banyak gambar-gambar yang diambil oleh beliau dan sekarang mempunyai sebuah syarikat, Colours of Asia Sdn Bhd sebagai seorang CEO. Beliau berasal daripada keluarga yang miskin telah melibatkan diri di dalam perniagaan seawal umur 7 tahun di mana beliau mula menjual lukisan-lukisan beliau pada rakan sebaya. Sikap beliau ini menunjukkan bahawa beliau seorang yang proaktif. Ini kerana walaupun baru berusia 37 tahun pada tahun ini, beliau sudah mempunyai sebuah syarikat, mempunyai penjenamaan sendiri dan mempunyai sebuah institusi akademi sendiri dan akan mengembangkannya menjadi sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS). Sejak awal lagi beliau telah berjinak-jinak dalam bidang ini. Syarikat fotografi yang ditubuhkan beliau mempunyai taraf antarabangsa kerana melibatkan luar negara. Setakat ini, lebih 30,000 orang jurugambar yang sudah beliau didik dalam bidang ini. Beliau bertindak berani untuk menjengah bidang keusahawanan dalam usia muda walaupun risiko sebagai seorang usahawan untuk menubuhkan syarikat atau perniagaan sendiri adalah tinggi. Tetapi berkat kesungguhan dan sikap beliau yang bertindak lebih awal untuk memulakan perniagaan dalam usia muda adalah satu tindakan yang bijak dan proaktif. Kejayaan beliau mula terukir apabila berjaya membawa jenama Candid Syndrome ke persada dunia. Jenama Candid Syndrome kini bukan lagi nama biasa di negara seperti Indonesia, Brunei, Sweden dan juga Singapura. Malahan beliau terus mengukir satu demi satu kejayaan apabila tersenarai dalam TOP 10 MALAYSIAN, sebaris dengan individu-individu yang merupakan nama besar dalam Malaysia termasuk Datuk Lee Chong Wei, Tan Sri Anthony Fernandes dan Datuk Misbun Sidek.



Saiful Nang

BIOGRAFI USAHAWAN BERJAYA


STEVE JOBS , PENGASAS APPLE COMPUTER CORPORATION



BIODATA STEVE JOBS

Steven Paul Steve Jobs, lahir pada 24 Februari 1955, ialah seorang usahawan dan pencipta berbangsa Amerika Syarikat. Beliau merupakan pengasas, pengerusi, dan bekas CEO of Apple Inc. Jobs juga pernah menjadi ketua pegawai eksekutif Pixar Animation Studios dan juga menganggotai lembaga pengarah The Walt Disney Company pada tahun 2006, setelah Pixar dibeli oleh Disney. Beliau dihargai sebagai penerbit eksekutif dalam filem Toy Story (1995). Pada akhir 1970-an, Jobs bersama Steve Wozniak (pengasas bersama Apple), Mike Markkula, dan lain-lain, mereka, membangunkan, dan memasarkan salah satu barisan komputer peribadi yang berjaya di pasaran, iaitu siri Apple II. Pada awal 1980-an, Jobs merupakan antara mereka yang julang kali melihat potensi komersil antara muka grafik pengguna pacuan tetikus yang membawa kepada lahirnya Macintosh. Setelah kalah dalam perebutan kuasa dengan lembaga pengarah pada tahun 1984, Jobs meletak jawatan dari Apple lalu menubuhkan NeXT, sebuah syarikat pembangunan platform komputer yang khusus dalam pasaran pendidikan tinggi dan perniagaan. Pada tahun 1996, Apple membeli NeXT, maka Jobs kembali ke syarikat lama yang ditubuhkannya itu dan berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada tahun 1997 hingga 2011. Pada 1986, beliau memperoleh bahagian grafik komputer Lucasfilm Ltd lalu mengubahnya menjadi Pixar Animation Studios. Beliau kekal sebagai KPE dan pemegang saham majoriti pada 50.1% sehingga Pixar dibeli oleh The Walt Disney company pada tahun 2006. Dengan itu, Jobs menjadi pemegang saham individu terbesar Disney pada 7% dan juga ahli Lembaga Pengarah Disney. Sejarah perniagaan Jobs telah banyak berbakti kepada imej simbolik seseorang usahawan Silicon Valley yang idiosinkratik dan individualistik, menekankan kepentingan reka bentuk serta memahami peranan penting yang dimainkan oleh estetika dalam menarik perhatian umum. Beliau disanjungi kerana jasanya memajukan pembangunan keluaran-keluaran yang berguna dan anggun pada masa yang sama. Pada 24 Ogos 2011, Jobs mengumumkan perletakan jawatannya sebagai KPE Apple dan bakal digantikan oleh Tim Cook. Atas permintaan beliau, Jobs dilantik sebagai Pengerusi lembaga pengarah Apple. Pada 5 Oktober 2011, Apple mengumumkan bahawa Steve Jobs meninggal dunia pada usia 56 tahun.